Sunday, 15 April 2018

Jom Kenali Pokok Kaki Angin ~ Tumbuhan Unik Hidup Tanpa Tanah & Pasu!

Nama Biasa          : Kaki Angin @ Spanish Moss
Nama Saintifik      : Tillandsia usneoides

Amat benar sekali, bahawa pokok Kaki Angin @ Spanish Moss adalah sejenis tumbuhan berbunga unik yang ditanam tanpa guna tanah, tanpa guna pasu tetapi hanya perlukan sumber tempat untuk bergantung sahaja!

Pokok Kaki Angin telah menjadi koleksi tanaman popular di kalangan penggemar pokok hiasan sejak lama dahulu. Ia telah dijadikan sama ada sebagai elemen interior atau exterior di persekitaran rumah. Penjagaan pokok Kaki Angin amat mudah, cuma perlu pastikan pokok Kaki Angin anda dalam keadaan tergantung sahaja supaya ianya dapat menyedut terus udara nyaman dan siraman mengikut rutin harian biasa 2 kali sehari. Selepas beberapa waktu anda akan terkejut kerana pokok anda semakin rimbun dan tumbuh semakin memanjang menyerupai ‘bidai” dan akan kelihatan amat menarik! Pokok ini telah lama menjadi koleksi pencinta pokok hiasan. Penulis sendiri telah bertemu pertama kali dengan pokok Kaki Angin sekitar tahun 1985 di UPM, Serdang. Sehingga kini selepas lebih 30 tahun, pokok Kaki Angin masih menjadi koleksi pelengkap pokok hiasan penulis!
   
Ramai antara kita pasti telah memiliki pokok Kaki Angin dalam koleksi pokok hiasan di rumah dengan pelbagai kaedah penanaman yang tersendiri iaitu dengan menggantungnya mengikut kreativiti sendiri; asalkan ianya dapat hidup dan membiak dengan baik. Kaedah yang biasa ditemui untuk menggantung pokok Kaki Angin adalah bahagian bingkai kipas angin, tempurung dan sabut kelapa, kawat kasar bengkok mahupun pada dahan-dahan pokok dan berbagai cara lain.
Pokok Kaki Angin Digantung Pada Komponen Kipas Angin 



Pokok kaki angin mempunyai banyak panggilan nama biasa di seluruh dunia. Antara panggilan biasanya  adalah Pokok Janggut, Spanish moss,Janggut Sulaiman,Janggut Orang Tua,Janggut Musa, Pokok Rambut,Rambut Pele dan Rambut Kali. Walaupun di Amerika Syarikat ramai yang mengenalinya sebagai ‘Spanish Moss’ atau lumut Sepanyol, tetapi ianya langsung tidak berupa lumut! 

Di negara asalnya dijumpai “Spanish moss” dikenali sebagai “Spanish beard”. Orang asli Amerika mengenalinya sebagai “itla-okla”, yang bermaksud “tree hair”. Sesetengah orang Perancis melihatnya seperti janggut orang Sepanyol zaman dahulu yang menakluki Mexico dan Peru pada abad ke-16 dan mula memanggilnya sebagai “Barbe Espagnol”, atau “Spanish beard”. Orang Polynesia kadang kala merujuknya sebagai “Kali’s hair”, dan dalam keadaan biasanya ianya dipanggil sebagai “tree hair”, hanya kerana ianya amat menyerupai rambut! Orang Sepanyol pula memanggilnya sebagai “Cabello Frances”, atau “French Hair”. Hingga sekarang, “Spanish beard” kekal dipanggil “Spanish moss”. Nama saintifiknya ialah Tillandsia usneoides dan tergolong dalam keluarga Bromeliad, iaitu dalam keluarga nenas. Kaki Angin adalah sejenis epipfit, bermaksud tiada sistem akar normal tetapi mengambil makanan dan air melalui dedaunnya.

Mengikut pengalaman penulis, kaedah menanam pokok kaki angin terbaik adalah menggunakan teknik menggantung pada Kawat GI berbentuk bunga matahari. Teknik ini  merupakan satu inovasi baru yang boleh meningkatkan kesuburan dan menggalakkan pembiakan pokok kaki angin anda. 

Manfaat Inovasi Produk 

Antara manfaat penggunaan teknik ini adalah :

  1. Meningkatkan kadar serapan udara pada permukaan dedaun yang lebih luas
  2. Meningkatkan kadar serapan air pada permukaan dedaun yg lebih luas 
  3. Meningkatkan kadar serapan baja pada permukaan dedaun yang lebih luas 
  4. Memudahkan pembiakan benih baru
  5. Menyusun dengan lebih kemas, seragam dan teratur di sekitar rumah 
  6. Lebih ringan dan lebih mudah berpindah lokasi yang diingini
  7. Menjimatkan ruang tanaman


Ringkasan

Nama Biasa
Kaki Angin, Pokok Janggut, Janggut Hantu, Spanish moss, Janggut Sulaiman, Janggut Orang Tua, Janggut Musa, Pokok Rambut, Rambut Pele, Rambut Kali
Nama Saintifik
Tillandsia Usneoides
Keluarga
Bromeliaceae
Asal Usul
Selatan Amerika Syarikat, Tengah & Selatan Amerika, Negara tropika & kawasan sub tropika
Ketinggian
Boleh mencapai 20-25 kaki panjang
Pencahayaan
Cahaya tidak secara langsung
Siraman
Siraman kerap diperlukan
Suhu
50-95oF
Kelembapan
Kelembapan tinggi diperlukan
Tanah
Tidak memerlukan tanah
Baja
Pada amnya tidak memerlukan baja
Pembiakan
Biji benih atau keratan pucuk
Perosak
Boleh menjadi perumah serangga, biasanya tidak dimakan oleh serangga

2 comments:

NSRY09 ~ Aloepirandsia Nursery

AgroPro Intergrated telah memulakan sebuah aktiviti agrobes berkonsepkan 'Kebun Bandar' iaitu Nurseri Aloepirandsia di Taman Ikhsan,...